MENCARI IDENTITI RUMPUN UNTUK MASYARAKAT ORANG ASAL SABAH

Philix Laimon 1
1 0
Read Time:12 Minute, 25 Second

Note: Reproduced with permission from the Author, Datuk Henrynus Amin who penned this article on 12th October 2016, before the Momogun Convention on 29th October 2016

Mencari identiti rumpun untuk menyatukan etnik-etnik orang asal Negeri Sabah atau kumpulan linguistik Dusunic Murutic dan Paitanic adalah cabaran terbaru yang dihadapi rakyat Sabah.

Sejak 53 tahun yang lalu masyarakat orang asal atau anak Negeri Sabah khusus etnik dan sub etnik atau kumpulan linguistik Dusunic, Murutic dan Paitanic (sungai) tidak mempunyai identiti kolektif atau identiti generik sebagai rumpun bangsa walau pun pada lazimnya mereka semua mempunyai persamaan dari segi asal usul, genetik, bahasa dan budaya atau adat resam tradisi.

Tanpa identiti rumpun atau identiti nasional, setiap etnik dan sub etnik Dusunic Murutic dan Paitanic wujud secara berasingan, kecil, berpecah, malah kebanyakan mereka daif dari segi ekonomi dan tidak mendapat pengiktirafan di peringkat nasional misalnya dalam borang borang rasmi kerajaan serta statistik dan sistem data kependudukan negara Malaysia.

Ketiadaan identiti nasional yang dapat dikategorikan secara berasingan dalam borang borang rasmi dan statistik negara mempunyai implikasi politik sosial dan ekonomi khusus dalam penggubalan dasar dan program program pembangunan yang adil dan saksama.
Tanpa identiti dalam borang rasmi kepentingan politik sosial dan ekonomi masyarakat orang asal Sabah dan Sarawak terjejas dan tidak terjamin. Ini disebabkan tanpa data dalam statistik, etnik etnik orang asal tidak tahu tahap pencapaian atau jumlah penglibatan mereka dalam aktiviti pembangunan negara.


FORMULA IDENTITI RUMPUN

Usaha untuk mencari formula penyatuan rumpun suku suku atau etnik dan sub etnik masyarakat Dusunic Murutic dan Paitanic adalah bertujuan untuk menjadikan masyarakat orang asal bumi Borneo ini sebagai rumpun bangsa yang terbesar (definitive community) di Negeri Sabah.
Usaha ini tidak menjejas identiti setiap etnik dan sub etnik masarakat orang asal. Malah identiti etnik perlu diperkukuhkan melalui pembentukan Persatuan yang memperjuangkan identiti bahasa dan budaya etnik masing masing.
Tujuan kita ialah mencari formula identiti rumpun yang boleh dijadikan identiti nasional untuk tujuan dimasukkan sebagai kategori berasingan (bukan lain lain) dalam borang rasmi kerajaan dan statistik negara
Statistik Malaysia kini hanya mengiktiraf Melayu, Cina dan India sebagai rumpun bangsa terbesar. Suku suku yang lain telah dimasukkan ke dalam kategori lain lain. Ini disebabkan jumlah suku kaum tersebut terlalu kecil untuk diberikan kategori identiti yang berasingan.

Kita maklum tentang desakan suku suku atau etnik etnik kumpulan Dayak termasuk Iban, Bidayuh, Kelabit, Lumbawang, Penan, Kayan dan lain lain yang meminta pengitirafan agar menjadikan Dayak sebagai nama rumpun masyarakat orang asal Sarawak untuk diiktiraf sebagai kategori berasingan dalam borang rasmi kerajaan dan statistik negara.

YAB Perdana Menteri Malaysia telah memberi respon positif dan meminta masyarakat orang asal Sabah dan Sarawak untuk mencadangkan nama rumpun yang mereka ingin pakai sebagai identiti rumpun untuk tujuan pengiktirafan dan untuk dimasukkan ke dalam borang rasmi kerajaan dan statistik/data negara.

Untuk menyahut seruan YAB Perdana Menteri, YB Datuk Joseph Entulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengarah semua NGO yang mewakili masyarakat orang asal Sarawak termasuk NGO2 yang mewakili kepentingan sosio ekonomi masyarakat Dayak  berkumpul dan memutuskan nama rumpun yang wajar digunakan. Mesyuarat NGO Dayak diadakan dalam tahun 2014 dan kesemua mereka termasuk Persatuan Orang Ulu Sarawak yang sebelum ini menentang istilah Dayak telah menerima baik konsensus yang dicapai.

Awal tahun ini surat kelulusan telah diterima oleh mereka untuk menjadikan Dayak sebagai identiti rumpun suku suku orang asal Sarawak dalam borang rasmi kerajaan.

Bagi Negeri Sabah, saya difahamkan bahawa YB Datuk Dr Maximus Ongkili telah dipertanggungjawabkan untuk mencadangkan identiti suku suku orang asal Negeri Sabah. Namun demikian setahu saya tidak ada panggilan beliau untuk NGO etnik etnik Sabah diadakan hingga hari ini untuk memutuskan identiti rumpun kecuali penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemurnian Etnik Sabah oleh kerajaan Negeri Sabah. YB Datuk Dr. Max hanya membawa perkara ini dalam perbincangan Majlis Tertinggi KDCA.


Saya juga difahamkan sekiranya Sabah tidak ada kata putus untuk mencadangkan mana identiti rumpun maka besar kemungkinan ANAK NEGERI SABAH atau BUMIPUTRA SABAH akan digunakan sebagai identiti kolektif.
Ini bermakna suku suku orang asal Sabah khusus kumpulan linguistik Dusunic Murutic dan Paitanic akan dikumpulkan bersama suku suku Bajau, Suluk dan Bugis dan sebagainya.

Ini bermakna kita sebagai ANAK SULUNG bumi Sabah yang terbesar (definitive community of Sabah) akan hilang dan sekali gus kita kehilangan warisan hak kesulungan kita sebagai orang asal Negeri Sabah.


Tanpa kesedaran dan kesatuan untuk menerima hakikat kita selaku kumpulan linguistik Dusunic Murutic dan Paitanic adalah bangsa serumpun, kita pasti akan menjadi bangsa yang gagal, malah akan pupus ditelan zaman.


Kita sedih sebab kita tidak ada identiti rumpun yang mengikat kita untuk keluar dari kelemahan kita sebagai masyarakat yang berpecah, lemah, miskin, daif dan langsung tidak bermaya untuk berdiri di atas kaki sendiri.


USAHA KERAJAAN NEGERI SABAH
Kerajaan Negeri Sabah telah mengeluarkan arahan untuk pemurnian etnik etnik Sabah. Menyuarat etnik etnik Sabah di bawan Lembaga Kebudayaan Sabah telah diadakan. Ramai etnik yang diiktiraf sebagai etnik penuh. Keputusan juga dibuat untuk mengenal pasti rumpun etnik yang akan digunakan.


Suku2 Bajau Sama Kagayan, Ubian, Suluk, Palau, Illanun dan lain lain bersetuju menggunakan Bajau/Sama sebagai identiti rumpun. Suku Brunei menolak istilah Melayu dan mengtakrif diri mereka sebagai rumpun Brunei Sabah.


Namun suku Kadazan Dusun Murut Rungus Sungai tidak ada kata putus mengenai rumpun. Wakil KDCA dalam mesyuarat permurnian etnik mengistiharkan Kadazandusun sebagai etnik dan bukan rumpun. Oleh itu identiti masyarakat orang asal Sabah (Dusunic Murutic dan Paitanic) tergantung hingga hari ini. KDCA gagal mencadang nama rumpun yang boleh dipersetujui ramai. Malah KDCA mencadangkan agar status kira dalam borang rasmi kerajaan dikekalkan sebagai lain lain.

Inilah sebabnya MNC telah mencadangkan MOMOGUN sebagai nama rumpun.

Kita ambil iktibar dari kejayaan masyarakat rumpun Dayak.

Borang borang rasmi dan statistik negara hanya mengiktiraf Melayu Cina India dan lain lain. Yang terbaru masyarakat Sarawak berjaya menyatukan masyarakat Anak Negeri di bawah naungan rumpun Dayak yang kini diterima oleh kerajaan Persekutuan.

Di Semenanjung suku suku Bugis Jawa, Banjar, Acheh, Minangkabau, Melayu Siam, Mamak dan lain lain ditakrifkan sebagai rumpun Melayu.
Masyarakat Hakka, Hokien, Teochew, Cantonese, Hainan, Siyap dan lain lain ditakrifkan di bawah rumpun Cina.
Demikian juga denfan masyarakat Tamil Malayalam, Singh, Ceylon dan lain lain, semyanta disatukan dalam satu identiti rumpun India.
Di Sarawak juga masyarakat Iban, Bidayuh, Lumbawang, Kelabit, Kayan, Penan, Bisaya  dan lain lain kini dikenali sebagai Dayak. Mereka berjaya mengenepikan semangat kesukuan untuk membentuk identiti nasional sebagai Dayak.


STATISTIK PENDUDUK SABAH
Menurut statistik 2010, jumlah penduduk Kadazandusun hanyalah 17.79% dan Murut 3.5% sementara masyarakat Rungus Bisaya Sungai Lundayeh Tombonuo Idaan dan lain lain dimasukkan ke dalam kumpulan Bumiputra lain iaitu 20% dari jumlah penduduk Sabah.

Usaha masyarakat orang asal untuk mencari formula perpaduan selama ini gagal. Ini disebabkan ada unsur luar yang ingin masyarakat orang asal terus berpecah dengan menggalakkan suku suku tertentu menjadi suku penuh dan saling bertelingkah.

Jumlah penduduk pendatang asing kini mencapai 29% berbanding dengan masyarakat Kadazandusun 17.79% dan menjadi suku kaum yang kecil, lemah dan tidak berpengaruh. Walau pun jumlah masyarakat Kadazandusun dicampurkan dengan jumlah suku kaum Murut, jumlah keseluruhan hanyalah 20% dari keseluruhan penduduk Sabah.
Sekiranya kita berjaya menyatukan identiti rumpun Momogun, jumlah kita melebihi 50% dari jumlah warga negara Sabah.
Dengan masyarakat Sungai Bisaya Idaan dan lain lain menyertai, kemungkinan 45% adalah beragama Islam. Perjuangan kita untuk mencari identiti rumpun tidak menjejas agama atau kepercayaan masing2.


SEJARAH PENYATUAN IDENTITI MASYARAKAT ORANG ASAL
Usaha penyatuan sebenarnya bermula sejak tahun 1962 apabila Allayarham Tun Fuad Stephens (Donald Stephen) menyarankan “Kadazan” sebagai identiti generik masyarakat orang asal Sabah. Saranan ini ditolak oleh masyarakat Dusun Tuaran dan Dusun Pendalaman khusus Keningau. Sebagai rekod TS Abdul Ghani Gilong (mewakili Dusun Ranau) telah bersetuju penggunaan Kadazan sebagai identiti rumpun.
Walau pun percubaan menggunakan istilah Kadazan sebagai rumpun gagal disebabkan masyarakat Dusun dan Murut di Pendalaman tidak nahu menerima Kadazan sebagai identiti kaum mereka.
Dlam tahun 1989 Persatuan KCA dan USDA mencapai kata putus untuk menggabungkan Kadazan dan Dusun untuk tujuan identiti bahasa. KCA telah mengubah nama dan Perlembagaannya yang kini dikenali sebagai Kadazandusun Cultural Association (KDCA).
Penggabungan nama ini adalah disebabkan kerajaan Persekutuan meminta nama generik untuk tujuan pengajaran bahasa Kadazan atau Dusun dalam sekolah -srkolah kerajaan. Tujuan penggabungan Kadazandusun adalah untuk tujuan pengiktirafan pembelajaran bahasa Kadazandusun.


Walaubagaimana pun Datuk Mark Koding yang mengetuai USDA dipecat dari PBS dalam tahun 1989 kerana disyaki mendalangi penubuhan parti PAKAR. Apabila beliau dipecat, USDA dihidupkan kembali dan semangat Dusun disemarakkan sebagai lambang kekuatan politik Datuk Mark Koding menentang pengaruh politik KDCA.
Perbelahan antara KDCA dan USDA berterusan hingga hari ini.
KDCA dalam Perlembagaannya mengtakrifkan semua 42 etnik etnik Sabah sebagai Kadazandusun termasuklah suku kaum Murut, Rungus, Sungai, Lundayeh, Bisaya dan lain lain.
Hakikatnya Persatuan Murut Sabah telah diiktiraf sebagai etnik penuh dan tidak menerima Kadazandusun sebagai istilah rumpun. Ini diikuti oleh kumlulan masyarakat Rungus Tombonuo Tatana dan lain lain.
Apabila satu persatu etnik-etnik orang asal mulai mengistihar diri mereka sebagai etnik penuh dan tidak mahu bernaung dalam rumpun Kadazandusun, persoalan besar muncul.
Saya tidak hairan apabila Persatuan-Persatuan Murut, Persatuan-Persatuan Rungus Persatuan Tombonuo dan lain lain mengistihar diri mereka sebagai etnik penuh yang berasingan dari Kadazandusun.

Ini bermakna masyarakat Kadazandusun semakin kecil dan penduduk Bajau 14% (dimungkinkan oleh Projek IC yang menjemput pendatang Bajau Suluk dari Filipina) tidak lama lagi akan melintasi garisan sebagai suku kaum terbesar di Negeri Sabah. Dalam tempoh 5 tahun masyarakat Bajau Suluk akan menjadi suku kaum dominan di Negeri Sabah.

Perkara ini berlaku kerana KDCA mengtaktifkan Kadazandusun sebagai identiti etnik dan bukan rumpun.


Gambaran statistik juga menggerunkan sebab suku Kadazandusun hanyalah etnik minoriti 17.79% berbanding dengan penduduk Pendatang Asing iaitu 29% dari jumlah penduduk Sabah. Majoriti pendatang asing ialah pendatang Filipina yang berbangsa Bajau/ Suluk.

Statistik juga menunjukkan jumlah penduduk Melayu bertambah sehingga 300,000 orang sedangkan suku Melayu tidak wujud di Sabah. Sumber yang dipercayai mencadangkan suku Melayu sebenarnya adalah suku Bugis yang mendaftar diri mereka sebagai Melayu bila mendapat Kad Pengenalan Malaysia.
Perkembangan ini amat membimbangkan penduduk asal Negeri Sabah. Kehadiran PTI dan kewujudan Projek IC mengujudkan kemungkinan suatu masa nanti masyarakat orang asal menjadi minoriti di bumi sendiri, malah menjadi pelarian di bumi sendiri.

SEJARAH KEWUJUDAN MNC
Dalam tahun 2012, TS Bernard Dompok mengeluarkan kenyataan mempersoalkan istilah lain lain untuk suku suku orang asal Sabah dan Sarawak. Persoalan ini menjadi topik perbualan hangat di kalangan pemimpin NGO suku suku orang asal Sabah.

PERJUMPAAN KUPI KUPI PISUMPUUVAN INITIATIVE (PI)
Sekumpulan ahli ahli seumur hidup KDCA memulakan chat group whatsapp dalam tahun 2014 yang diterajui oleh Robert Munang dan beberapa kawan kawannya. Kumpulan tersebut akhirnya mencadangkan tea party untuk bertemu dan membincangkan isu isu yang sedang hangat dibincangkan dalam masyarakat orang asal.
Perjumpaan tea party PI telah dimulakan oleh Datuk Christine Tibok-Van Houten sebagai fasilitator. Perjumpaan pertama diadakan awsl rahun 2014 yg dihadiri antara lain oleh.. TS Bernard Dompok, Datuk Dr Jeffrey Kitindan DSP Wilfred Bumburing; Datuk James Ligunjang dll. Perjumpaan kedua diadakan dan kali ini TS Bernard Dompok dipilih sebagai Pengerusi Perbincangan.

Dalam perbincangan tersebut isu identiti rumpun suku suku orang asal menjadi persoalan hangat. Akhirnya istilah Momogun didapati mempunyai nilai sejarah dan merupakan identiti lama yang pernah digunakan oleh masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus.

Dalam Dokumen Royal Asiatic Society istilah Momogun ditakrifkan sebagai “native” atau dalam bahasa Kadazan “uhun do pomogunan” atau people of the land. Ini bermakna Momogun mempunyai erti yang sama dengan Bumiputra, Pribumi atau Anak Negeri.

Dalam tahun 1962, GS Sundang dan Sedomon Gunsanad menubuhkan sebuah parti politik dan menggabungkan masyarakat Dusun dan Murut sebagai Pasok Momogun.

Istilah Momogun digubakan oleh suku Kadazan (Penampang) dusun dan Murut (Pendalaman) serta suku di utara seperti Rungus dan Tobilung.
Istilah Momogun adalah istilah lama sebagai identiti tetapi dilupakan setelah Penjajah British pempopularkan Dusun dan Murut. Hanya nasyarakat Rungus berjaya untuk mempertahankan warisan nama Momogun sebagai bukti mereka adalah orang asal Sabah.

Dalam perjumpaan kedua tea party PI ini juga buah fikiran mengenai penubuhan persatuan untuk memperjuangkan kesatuan suku suku masyarakat orang asal dan identiti rumpun diketengahkan. Mesyuarat PI melantik beberapa peribadi untuk menerajui penubuhan Persatuan secara sukarela yang bakal dinamakan Momogun National Council (MNC).

Penulisan Perlembagaan diketuai oleh Datuk John Sikayun, Datuk Maijol Mahap dan Sdra George Aludah. Pendaftaran  di ROS diusahakan oleh Datuk Christine Van Houten dan Datuk Maijol Mahap.

Nama Momogun  National Council ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan dan diganti dengan Momogun National Congress yang kini diluluskan.
TS Bernard Dompok telah dipilih sebagai Presiden Protem Momogun National Congress (MNC) sehingga Mesyuarat Agung Pertama diadakan untuk tujuan pemilihan Presiden dan AJK yang pertama.

Oleh kerana TS Bernard Dompok telah dilantik sebagai Malaysian Envoy to the Holy See di Rome, maka beliau menolak untuk dicalonkan sebagai Presiden MNC.

Oleh kerana tidak ada pilihan lain, Mesyuarat Agung MNC yang pertama pada 2016 telah memilih Datuk Henrynus Amin sebagai Presiden MNC yang pertama (menang tanpa bertanding).

Menurut Perlembagaan, Visi dan Misi MNC ialah “to unite, transform, empower and prosper” masyarakat Momogun Sabah.
Strategi utama MNC untuk menyatukan masyarakat asal Negeri Sabah ialah dengan mencadangkan MOMOGUN sebagai identiti rumpun untuk menyatukan kumpulan linguistik atau suku suku Dusunic, Murutic dan Paitanic (sesuai dengan klasifikasi Summer Institute of Linguistic).

MNC memperjuangkan agar semua etnik dan sub etnik Dusunic Murutic dan Paitanic  disatukan sebagai rumpun Mimogun dan nama rumlun ini diiktiraf oleh kerajaan.

Saya ingin menjelaskan Momogun bukanlah identiti suku kaum tetapi identiti rumpun. MNC mencadangjan untuk menjadikan rumpun Momogun sebagai nama kolektif untuk mengganti “lain lain” dalam borang rasmi kerajaan dan statistik demografi negara.

Cadangan MNC tersebut mempunyai beberapa alasan kukuh.
Pertama, memiliki identiti nasional adalah suatu impian, sumber kebangaan dan kemestian bagi setiap bangsa dalam sesebuah negara yang merdeka. Tanpa identiti nasional bangsa tidak wujud dalam statistik negara. Tanpa data dalam statistik yang menunjukkan kewujudan bangsa maka bangsa tersebut dianggap samada terlalu kecil atau sudah pupus ditelan zaman.

Oleh kerana Kadazandusun Murut dan Sungai tidak wujud dalam statistik negara maka bolehlah disimpulkan mereka tidak wujud sebagai suatu bangsa dan kewujudan mereka tidak relevan dalam penggubalan dasar negara.


Selama ini masyarakat Kadazandusun dan Murut hanya bernaung dalam gabungan Bumiputra yang pada hakikatnya nama Bumiputra tidak wujud dalam Perlembagaaan negara.

MNC tidak menerima saranan YB TS Joseph Pairin Kitingan agar setiap suku kaum menulis nama2 suku kaum masing masing di ruang lain lain. Cadangan ini tidak memberi sebarang kesan dari segi membentuk identiti rumpun nasional.
Malah ianya menghalalkan dasar pecah dan perintah.


Apakah pilihan kita?


1. Momogun

2. Mamasok

3  KDM atau KDMRLS

4  Anak Negeri Sabah

5. Bumiputra Sabah


(Hujah awal2 tadi mencadangkan istilah Kadazan dan Kadazandusun tidak diterima masyarakat Murut Rungus dan Tombonuo).

MNC serta 20 NGO Momogun telah bermesyuarat 3 kali dan bersetuju untuk mengadakan KONVENSYEN NASIONAL MOMOGUN pada 29 Oktober 2016, 9.00am – 6.00pm Dewan Masyarakat Kota Kinabalu untuk mengistiharkan sokongan penggunaan MOMOGUN sebagai istilah rumpun suku suku atau kumpulan etnik dan linguistik Dusunic Murutic dan Paitanic..

Penyertaan ke dalam Konvensyen tersebut terbuka kepada mana-mana NGO yang ahli ahlinya terdiri dari masyarakat Momogun (Dusunic, Murutic dan Paitanic) dan di mana tujuan Persatuan adalah untuk memperjuangkan kepentingan sosial dan ekonomi masyarakat Momogun.

PENUTUP

Adalah harapan kita semua agar setiap NGO mewakili suku-suku Orang Asal Sabah akan membuat pertimbangan wajar demi perpaduan dan masa depan kita semua.

END

Happy
Happy
100 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

One thought on “MENCARI IDENTITI RUMPUN UNTUK MASYARAKAT ORANG ASAL SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Ewon launches the first ‘1901’ franchise outlet in Sabah, encouraging entrepreneurs to venture into the franchise sector.

“The Minister of Entrepreneur Development and Cooperatives, Datuk Ewon Benedick, launched the first 1901 franchise outlet in Sabah, located at KDCA Penampang. 1901 is a subsidiary of Pernas, one of the agencies under the Ministry of Entrepreneur Development and Cooperatives (KUSKOP), and is operated by a female entrepreneur in Sabah. […]

You May Like

Subscribe US Now